Sunday, December 30, 2007

UTUSAN MALAYSIA ,ISNIN 23 Julai 2007

Painting & Drawing Makna di sebalik warna

SEBAGAIMANA karya-karya seni verbal, seni tampak juga merupakan sebuah catatan untuk menyatakan apa sahaja. Daripada gejolak dalaman pelukisnya hingga ke elemen-elemen sosial di sekitarnya.

Warna, sapuan berus dan tekstural merupakan sebahagian daripada medium untuk seseorang pelukis bersuara dan berkomunikasi dengan khalayak.

sesebuah karya tampak itu sendiri merupakan rakaman ruang dan waktu tertentu. Apa yang diketengahkan pada kanvas atau apa sahaja medium adalah catatan masa dan peristiwa.

Gambar-gambar pramoden dihasilkan oleh cara berpikir masyarakat zaman itu yang menggunakan sudut pandang kosmos dan mikrokosmos.

Manusia/pelukis moden pula jauh berubah. Mereka cenderung menggambar manusia dalam ruang, sedangkan manusia pramoden lebih menggambar waktu dunia manusia.

Pameran solo pelukis, E.H Chee, Painting & Drawing di Suria Stonar Show Gallery hingga 30 Julai ini merupakan sebahagian daripada makna-makna tersebut antara ruang dan waktu.

Melalui warna, Chee cuba mengisi ruang dan waktu pada kanvas. Karya yang tanpa bentuk dan imejan tetapi sarat dengan makna itu dikongsi dengan khalayak.

Tetapi beliau meletakkan persoalan ruang dan waktu itu pada tempat yang paling peribadi. Apa yang dituangkan pada kanvas adalah sebuah ekspresi antara diri dan pemikiran.

Ia lahir daripada pemahamannya dalam menilai keindahan yang berada di sekelilingnya. Elemen-elemen itu kemudiannya ditafsirkan dengan cermat tetapi dalam perspektif yang berbeza-warna dan berus.

Sebagai pelukis abstrak ekspresionisme, beliau tidak mengutamakan imej tetapi kekuatan warna, sapuan berus dan stroke untuk menonjolkan ruang dan waktu pada kanvas itu bergerak.

Sama seperti proses pemikiran dan gerakan naluri dalam menilai, mentafsir dan memahami tema yang diangkat ke kanvas. Seringkali dengan gaya sapuan yang lembut dan memukau. Namun, tidak jarang dengan gaya spontan, kasar dan `menyeramkan’.

Sebagai pelukis abstrak yang berpusat pada emosi, apa yang tergambar pada karya-karyanya adalah pergolakan emosi atau ketenangan ketika mengisi ruang dan waktu.

Beberapa karya Chee seperti Sahut (2003), Flower of Youth (2007), Prayer (2007) dan Wujud (2003) misalnya menampilkan gaya sapuan kasar, spontan dan tebal. Namun, beberapa karya lain seperti Lovers (2005), Blue Element (2007) menonjolkan unsur-unsur harmoni.

Dalam pengkaryaannya, Chee sebenarnya sedikit terpengaruh dengan seni lukis Nusantara yang tidak memperlihatkan kecenderungan realis-naturalis. Sebaliknya, ia selalu memperlihatkan abstrak.

Masyarakat Timur memang tidak mengenal representasi dalam keseniannya kecuali simbol dan perlambangan. Faktanya, manusia Timur lebih akrab dengan dekoratif, ornamen, simbolisme, bentuk-bentuk stilasi sebagai ekspresi kesenian mereka.

Oleh itu karya-karya Chee meletakkan dirinya sebagai titik pada ruang dan waktu. Keresahan, gejolak dan rasa dalam diri ketika itulah yang dilontar kepada khalayak menerusi kanvas.

Pergeseran semiotik, baik makna mahupun mesej ketika khalayak mengintepretasi setiap karyanya ekspresionismenya hingga memunculkan wacana baru tidak penting kepadanya.

Intepretasi makna lain oleh khalayak akan terjadi pengujian kembali makna awal atau malahan atau memberi makna baru hingga karya-karya Chee seperti umumnya lukisan abstrak dapat diberi 1001 pengertian.

Chee dan khalayak tidak lagi perlu bertanya, ada apa dengan makna jika setiap titik dan ruang yang dicipta pada permukaan kanvas telah mewujudkan sebuah wacana semiotik budaya visual yang boleh ditafsirkan oleh sesiapa sahaja.

Pada karya-karya di pameran solo keempatnya itu juga, Chee juga cuba bereksperimen pada permukaan kanvas. Bahawa setiap ruang yang dipaparkan adalah bersifat heterogen dan mempunyai nilai tidak sama.

Dalam erti kata lain, beliau meletakkan setiap ruang itu mempunyai makna yang tidak sama. Ruang sebelah kanan berbeza ertinya dengan ruang kiri. Begitu juga atas dan bawah atau depan dan belakang.

Ia seolah-olah mengingatkan kita pada teori relativiti oleh Albert Einstein bahawa ruang dan waktu itu pasangan kembar yang tidak dapat dipisahkan.

No comments: